Saturday, July 15, 2017

“Kasih Sayang KU Mengatasi Kemurkaan KU”



Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah setelah menciptakan makhluk, Dia tulis suatu tulisan di sampingNya di Arasy: Kasih SayangKu mengatasi kemurkaanKu."
Murka Allah adalah suatu sifat Alah yang kita tidak akan dapat melarikan diri daripadanya kecuali bagi orang yang telah benar-benar dapat membersihkan hatinya. Di dalam Al Quran, murka atau marah Allah disebutkan sebagai  Zuntiqam yang bermaksud  Pembalas segala kejahatan dengan azab seksa.  Juga disebutkan sebagai Syadiidul 'Iqab yang membawa maksud amat pedih seksaan-Nya. Di dalam Al Quran telah berulang-ulang diingatkan akan sifat murka Allah SWT ini.  Antaranya: "Mahukah kamu Aku tunjukkan tentang orang-orang yang lebih buruk pembalasannya daripada (orang-orang fasiq) itu di sisi Allah, iaitu orang-orang yang dikutuki dan dimurkai Allah, di antara mereka ada yang dijadikan kera dan babi iaitu orang-orang yang menyembah berhala. Merekalah orang yang paling buruk kedudukannya, paling sesat dari jalan yang lurus." - Al Maidah : 60

"Dia mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrik laki-laki dan perempuan yang mereka itu berprasangka buruk terhadap Allah. Mereka akan mendapat giliran (kebinasaan) yang amat buruk dan Allah memurkai dan mengutuk mereka serta menyediakan bagi mereka Neraka Jahanam."- Al Fath : 6

Sifat marah atau murka Allah tidak tergolong di dalam salah satu daripada Asmaul Husna-Nya seperti sifat-sifat Ar Rahman, As Syabur, Al Ghafur, Al Wali dll. Sifat-sifat Pengasih, Penyabar, Pemaaf, Pemelihara itu adalah sifat-sifat yang sentiasa, tetap dan kekal adanya pada Zat Allah sehingga dijadikanlah nama-nama indah bagi-Nya. Sedangkan sifat murka atau marah Allah bukan satu suatu sifat yang tetap bagi-Nya. Maknanya, Allah bersifat murka atau marah hanya pada waktu-waktu atau pada tempoh-tempoh yang tertentu. Allah akan murka dan marah hanya apabila hambaNya melakukan kejahatan dan dosa.

Bila hamba yang berbuat kejahatan itu sedar kembali lantas bertaubat, akan segera hilang marah dan murka Allah. Allah terus memaafkan dan kembali melahirkan kasih sayang-Nya kepada si hamba tadi. Tetapi lain pula keadaannya terhadap orang-orang kafir. Murka Allah kepada mereka akan kekal selama mana mereka mengekalkan dosa mensyirikkan Allah. Namun akan hilang juga murka Allah kepada mereka yang bertaubat dan kembali meng-Esakan Tuhan dengan menganut agama Islam. Sepertilah seorang ibu yang begitu sayang kepada anaknya. Apa saja permintaan si anak, ibu akan berusaha memenuhi kehendaknya. Cuma kadangkala apabila anaknya berbuat kesalahan atau kejahatan, akan timbul rasa marah, kecil hati dan tidak suka pada tingkah laku anaknya. Tetapi apabila si anak meminta maaf serta mengubah kelakuannya pasti ibu akan segera memaafkan. Si ibu akan kembali melahirkan kasih dan sayang terhadap anaknya.

Kemarahan si ibu hanya sekali sekala iaitu apabila anaknya melakukan kesalahan. Kemarahan tersebut bukanlah suatu sifat yang tetap dan sentiasa ada tetapi datangnya sesekali. Begitulah hakikatnya murka Allah sebenarnya adalah diselaputi Rahmat ( Kasih Sayang) Tuhan yang Maha Perkasa. Ada rahmat dan hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap bencana yang menimpa akibat kemurkaan Allah. Murka Allah bukanlah sengaja di ada-adakan, tetapi ada sebab-sebabnya. Sekiranya kita tergolong di kalangan orang yang sentiasa mengingati Allah sewaktu ditimpa kesusahan, kegelisahan dan bala, pasti kita akan dapat rasakan belaian kasih sayang Allah yang tersembunyi di sebalik setiap kesusahan yang menimpa kita. Hanya orang-orang yang tidak pernah pedulikan Allah sahaja yang merasakan ujian dan bala yang menimpa itu adalah untuk menyusahkan dan menyiksa diri mereka. Begitu baiknya Allah terhadap makhluk-Nya. Marah Allah adalah kerana sayang bukan kerana benci. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya Allah setelah menciptakan makhluk, Dia tulis suatu tulisan di samping-Nya di ' Arasy:  Kasih SayangKu mengatasi kemurkaanKu."


Menghargai Kasih Sayang Allah



KESELURUHAN surah di dalam kitab suci al-Quran itu dimulakan dengan pembacaan ‘Dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani’. Malah, hanya terdapat satu surah sahaja di dalam kitab suci tersebut yang tidak dimulakan dengan bacaan basmalah itu.

Allah mengulang-ulang perkataan ‘ar-Rahman’ di dalam al-Quran bagi menunjukkan betapa kasih sayang Allah kepada hambanya itu melebihi daripada segalanya. Perincian hal demikian dikongsikan oleh Ustaz Muhamad Syaari Ab Rahman dalam rancangan Ibrah yang bersiaran pada Isnin, 5.15 petang minggu lalu.

Minggu lalu kita meneliti kisah Sarah, isteri Nabi Ibrahim yang didatangi dengan kisah tiga orang lelaki yang datang sebagai tetamu ke rumah Baginda dan terpancar ketakutan yang amat di wajah Nabi Ibrahim. Mereka adalah tiga malaikat yang menyerupai manusia untuk memperihalkan kedatangannya untuk memaklumkan tentang zuriat kepadanya.

Kisah yang hampir serupa dibahaskan di dalam al-Quran menerusi Surah Maryam, tatkala datang seorang lelaki di hadapan Maryam ketika dia sedang bersujud di mihrabnya. Tatkala Maryam bangun daripada sujudnya dia terlihat akan seseorang muncul di hadapanya. Itulah Jibril, malaikat yang diutuskan Allah SWT untuk memberitahu tentang perihal zuriatnya.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran, “Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertakwa.” (Surah Maryam ayat 18)

Ketakutan Maryam itu dilafazkan dengan kata-kata ‘aku berlindung kepada ar-Rahman’. Mengapa Maryam memilih untuk menyebut ‘Ar-Rahman’?

Para ulama mentafsirkan tentang kegusaran Maryam yang keseorangan di dalam mihrabnya itu kerana Maryam benar-benar melihat Allah SWT. Oleh yang demikian, Maryam telah memperhambakan dirinya dengan menyatakan bahawa hanya Allah SWT tempat segala pergantungan dalam apa sahaja perkara yang dialaminya itu.

Begitu juga dapat dilihat menerusi kisah Nabi Yusuf AS, yang didatangi seorang wanita iaitu ‘Zulaikha’ yang menghampiri dirinya, Baginda tetap memilih perkataan ‘ar-Rahman’ sebagai pelindung kepada dirinya itu.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”. (Surah Yusuf ayat 23)

Kasih sayang Allah SWT melangkaui daya fikir manusia. Lihat, betapa Allah mengilhamkan waktu pagi untuk melihat; kemudian diteruskan ke tengah hari sehingga lewat malam. Betapa nikmat Allah melalui ‘ar-Rahman’ nya itu tiada upaya manusia menghitungnya.

Dalam Surah Maryam juga, diceritakan perihal Nabi Ibrahim as kepada bapanya yang mengingkari Allah SWT untuk mentaatinya.

Allah berfirman yang bermaksud, “Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi syaitan di dalam neraka”. (Surah Maryam ayat 45)

Dalam satu analogi mudah, ‘jika manusia tidak mempunyai wang di dalam akaun banknya, tentulah pengeluaran wang itu tidak dapat dikeluarkannya.’ Begitulah dengan ar-Rahman Allah itu, dapat difahami bahawa, jika kita sebagai hamba tidak mentaati Allah SWT, bagaimana Allah SWT hendak menggunakan ar-Rahman-Nya itu untuk membantu kita.

Walaupun demikian, Rasulullah SAW sentiasa memperingatkan kita dengan sabda baginda, “Barangsiapa yang tidak menyayangi dia tidak akan disayangi.”

Oleh yang demikian, orang mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT akan memikirkan secara mendalam tentang hal ar-Rahman Allah itu.

Dalam ayat yang lain Allah menyatakan “Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia. (Surah Yasin ayat 11)

Dalam susah atau senang, Allah SWT menyayangi hambanya itu lebih daripada segalanya. Malah, setiap kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh manusia yang bergelar hamba itu seringkali dihazafkan Allah SWT dengan ar-Rahman-Nya itu.

Firman Allah SWT lagi, Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, – sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya.” (Surah Maryam ayat 75)

Demikianlah beberapa ayat suci al-Quran yang memperihalkan tentang kasih sayang Allah SWT itu kepada manusia. Berdoalah kepada-Nya agar kita sentiasa mendapat keampunan melalui ar-Rahman Allah itu.

Kasih Sayang Dan Isi Alam



Saya berpendapat bahwa alam semesta ini memiliki hak yang ingin saya namakannya sebagai hak asasi alam. Hak ini mengatasi hak asasi manusia sendiri, kerana hak asasi alam lebih universal. Sehinggakan ianya merangkumi hak asasi manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan benda lainnya (makhluk) di alam semesta ini.


Saya juga berpendapat bahawa asas hubungan antara manusia dan alam adalah rahmat kasih sayang. Dan kita tahu bahwa rahmat adalah salah satu jalan menuju syurga. Manakala kekerasan, kekejaman dan penindasan makhluk adalah jalan ke neraka. Perhatikan hadis berikut:

    “Tatkala seseorang berjalan di jalanan, dia melihat ranting pohon berduri di tengah jalan (dan bisa membahayakan makhluk hidup), dia terus mengambilnya dan membuangnya ke tepi jalan. Lalu Allah berterima kasih kepadanya atas perbuatan itu dan mengampunkan dosanya” (HR. Muslim)

Jika kita renungkan hadis tentang orang yang masuk syurga kerana memberi seekor anjing yang haus minum dan juga hadis tentang seorang perempuan yang masuk neraka kerana menyeksa kucing, maka kita akan faham kebenaran yang saya tekankan di atas. Hakikatnya berbuat baik kepada alam semesta adalah jalan syurga, dan berbuat jahat kepada alam adalah jalan neraka.

Saya ingin menyampaikan pendapat peribadi saya yang mungkin bercanggahan dengan pendapat ramai. Saya dapati jika teknologi sains moden dan penciptaan ini dipelopori oleh peradaban umat Islam, maka tidak akan ada impak negatif terhadap alam semesta seperti yang berlaku sekarang.

Kalau anda perlukan bukti, berkunjunglah ke Muzium Seni di Kairo. Di sana anda boleh melihat sebuah alat yang dibuat oleh peradaban Islam untuk menghindari pemakaian air yang berlebihan. Yang membuatkan alat ini unik adalah kerana alat ini diletakkan di tepi Sungai Nil yang pada saat itu penduduk Mesir masih sedikit. Ini menunjukkan kesedaran masyarakat ketika itu betapa pentingnya tidak membazir air, meskipun air sangat banyak.

Jika berkunjung ke Kairo, lihat juga bahagian atas Masjid Muhammad Abu Dzahab. Di sana selalu tersedia makanan khusus untuk burung-burung yang bebas berterbangan. Lihatlah daerah yang bernama “Baitul-Qhadi” berdekatan dengan Masjid Imam al-Husain. Di sana ada wakaf yang sangat unik. Wakaf itu khusus untuk tempat makan dan minum anjing-anjing jalanan.

Ini menunjukkan bahawa peradaban umat Islam sangat menjaga lingkungan dari ketidak seimbangan, polusi, penindasan makhluk dan pastinya dari bahaya dan kehancuran.


Wujudkan Rasa Kasih Sayang Kerana Allah




Kasih sayang itu fitrah.

Ia berada pada setiap diri makhluk.

Dan sifat kasih sayang itu bukan hanya khusus pada manusia sahaja. Sebaliknya, setiap makhluk ciptaan Allah SWT dikurniakan sifat tersebut juga.

Sepertimana, seekor kucing akan meminta makanan secara baik kepada manusia sekalipun haiwan itu berada dalam keadaan kelaparan.

Juga, kadangkala kita sentiasa mengambil peluang untuk berehat sebentar di bawah pohon. Tidak pula pohon yang kita menumpang rehat tersebut memarahi kita dengan menghenyak kita.

Itulah antara sifat kasih sayang yang diterjemahkan kepada manusia daripada makhluk lain.

Dan Allah swt juga memberikan kasih sayangNya pada kita dengan mengurniakan rahmat. RahmatNya yang sangat luas sehinggakan mampu menutup keaiban kita, kesalahan kita, dan dosa-dosa yang pernah kita lakukan sama ada secara sedar ataupun tidak.

Tambahan pula, dengan kasih sayangNya, Allah swt mengutuskan seorang insan yang mulia iaitu Nabi Muhammad saw agar kita sentiasa berada pada jalan yang benar.
Kasih sayang itu terus berlanjutan sehingga ke hari ini.

Kasih sayang daripada seorang Nabi dan Rasul kepada umatnya.

Baginda saw mengambil tanggungjawab untuk menyempurnakan akhlak. Dan ketika ini, masih ada lagi para alim ulama’ yang sangat baik tingkah laku, dan akhlaknya yang patut kita sama-sama teladani.

Itulah gambaran kasih sayang daripada insan yang mulia Rasulullah saw.
Kasih sayang itu memerlukan kerjasama.

Ia tidak bertindak sendiri dan menyendiri. Kerana, sifat kasih sayang berada pada lubuk hati insan.

Sekiranya kita tidak memaknakannya melalui tindakan, dunia pasti sepi.

Seperti anggota tubuh kita. Andai penyakit demam melanda, maka seluruh anggota tubuh badan terasa bahang kepanasan tersebut.

Hampir semua anggota tubuh badan kita menjadi lemah. Sampaikan, kita tidak berasa selesa daripada siang hingga malam.

Pada keesokannya pula, kita bergegas ke klinik dan bertemu dengan doktor.

Kita meluahkan apa yang kita rasa dan lalui pada doktor. Dengan harapan, doktor faham tentang apa yang kita alami.

Lalu, doktor pun membantu diri kita. Kerana adanya sifat kasih sayang, doktor merawat kita sehinggalah kita benar-benar sihat dan ceria.

Kita wajib memaparkan sifat kasih sayang sepanjang hayat. Kerana, sifat kasih sayang membentuk kerjasama dan perpaduan sesama kita.

Tidak kira suku, bangsa, bahasa, dan warna kulit, bahkan saudara se-Islam pun, kita harus bersama-sama. Kasih sayang itu bantu-membantu dan bersatu-padu.

Ia akan huru-hara sekiranya kasih sayang itu bercerai-berai dan mampu merosakkan sifat fitrah makhluk itu sendiri.

Maka, wujudkanlah sifat kasih sayang ini, hidup kita akan lebih harmoni dan sejahtera. Mulakanlah sifat kasih sayang pada diri sendiri terlebih dahulu dengan menghargai diri dan diikuti insan-insan yang terdekat.

Tebarkanlah sifat kasih sayang ini, bukan kerana ingin dihargai semata-mata di mata manusia.

Tetapi kita  bersifat kasih sayang kerana kasih sayang Allah dan RasulNya itu lebih besar, mulia, dan agung.
Berkasih sayang itu tanda kita bersyukur.

Berkasih sayang itu tanda kita taat setia. Berkasih sayang itu tanda kita memelihara amanah.

Berkasih sayang itu menandakan bahawa kita kasih dan sayang pada Allah dan RasulNya juga.

“Orang yang saling berkasih sayang demi keagunganKu akan mendapat mimbar-mimbar daripada cahaya, hinggakan para nabi dan syuhada juga cemburu dengan mereka.”

(Riwayat Al Tirmizi)


Kasih Sayang


ALAM sehari semalam kita kerap menyebut perkataan ‘Bismillah’. Semua di antara kita sudah tahu apa maknanya, iaitu ‘Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang’.

Begitulah makna ayat al-Quran yang paling popular. Begitulah juga hebatnya Allah mengasihi makhluk yang dicipta-Nya.

Malah, golongan yang mengingkari-Nya pun masih dibenarkan tinggal di bumi-Nya. Mereka yang derhaka kepada-Nya pun masih diberi kesempatan menghirup udara-Nya, bahkan kadangkala rezeki makin bertambah.

Walaupun begitu, sudah banyak kita mendapat nikmat daripada-Nya tetapi jarang memberikan waktu untuk menghitungnya jauh sekali untuk membalasnya.

Setiap hari rasanya kita tidak terlepas meluangkan masa untuk mengambil sarapan kerana menganggap ia sangat penting.

Tetapi kenapa kita tidak sempat menggunakan beberapa minit untuk bersama memikirkan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Allah, sebagai vitamin sebelum bekerja atau menunaikan tugas harian?

Cuba tanya hati sanubari kita, apakah nikmat yang sudah kita dapat sepanjang hari semalam?

Kita boleh tidur dengan nyenyak, rumah kita selamat daripada pencuri, anak ceria, kita sendiri bahagia dan sebagainya. Tetapi pernahkah kita rasakan itu adalah rahmat Allah atau dalam kata lain pernahkah kita bersyukur?

Itulah tandanya kasih sayang Allah dan selepas kita mendapat kasih sayang Allah pernahkah kita tebar dan sebarkan itu semua kepada makhluk Allah yang lain?

Sudahkah kita sayangi ibu bapa kita sebagaimana kasih sayang yang kita dapat daripada Allah itu? Kepada anak kita, teman dan rakan sejiran, teman dan rakan sepejabat kita, bagaimana?

Sebenarnya antara tugas kita di bumi ini untuk berkasih sayang tanpa memandang ras, warna kulit, bangsa dan agama, parti politik bahkan juga kepada binatang, tumbuhan dan alam sekitar.

Dalam satu hadis Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: “Orang yang bersifat pengasih akan dikasihi Allah Yang Maha Pengasih. Hendaklah kamu mengasihi makhluk di bumi, nanti kamu akan dikasihi penduduk langit.”

Kepada mereka yang derhaka kita patut melihat dengan penuh kasihan belas sebab kesalahannya adalah kesusahan baginya.

Mereka perlu didekati untuk ditegur dengan baik bukannya kasar supaya penderhaka itu diselamatkan daripada murka Allah. Golongan yang pengasih bersifat seperti di bawah ini:

Di mana ada benci, biar kita yang membalas dengan sayang.

Di mana ada hati yang terluka, di situ kita yang menjadi penghiburnya.

Di mana ada keraguan, di situ kita yang meyakinkan.

Di mana ada putus asa, di situ kita menebarkan harapan.

Di mana ada kesedihan, di situ kitalah yang berkongsi bahagia.

Di mana ada kegelapan, di situlah kita yang membawa cahaya.

Selagi kita mahu membantu dan mengasihi kita, selagi itu kita mendapat ‘geran’ kekayaan daripada Allah yang Maha Mengasihi.